SKUAD utama Sabah FC bersedia memberikan beberapa pemain dari skuad Liga Super untuk membantu skuad Sabah FC II memantapkan pasukan untuk mengharungi kempen Piala Malaysian Football League (MFL).

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan perkara ini dilakukan bagi membantu skuad pembangunan itu meningkatkan prestasi semasa berikutan tidak mencatatkan keputusan memuaskan selepas mengharungi lapan perlawanan dan menghuni tangga terbawah liga.

Kim Swee menegaskan bahawa pengendali Sabah FC II, Alto Linus memerlukan sedikit masa untuk membuat segala perancangan termasuk memperbaiki beberapa taktikal pasukan untuk mencatat keputusan positif pada perlawanan akan datang.

“Kita perlu faham bahawa Sabah FC II ketika ini tidak mempunyai keputusan yang memberangsangkan serta baru sahaja mengalami pertukaran barisan kejurulatihan dan sudah tentu ianya memerlukan masa untuk dari segi penyesuaian taktikal.

“Kita memberi jaminan pasukan Liga Super akan membantu menurunkan beberapa pemain senior yang tidak mendapat minit permainan ke Sabah FC II untuk mendapat keputusan positif,” katanya.

Sementara itu Alto Linus yakin pasukannya akan dapat mencatat keputusan positif kerana pemain sudah memahami corak taktikalnya sekali gus mula mencapai persefahaman dalam kalangan pemainnya.

Alto turut menjelaskan bahawa ketika ini beberapa kelemahan sudah dikenalpasti termasuk teknik bagaimana para pemain berfikir ketika di padang sekali gus mampu membantu Sabah II mencapai kemenangan.

“Kita yakin inilah perkembangan positif yang kita mahu. Jadi saya rasa ini merupakan khabar gembira bagi pasukan berikutan jadual perlawanan liga masih panjang.

“Kita akan rancang beberapa perlawanan persahabatan untuk memastikan semua pemain dapat memperbaiki semua kelemahan sebelum kita menghadapi perlawanan seterusnya nanti,” jelasnya.