PASUKAN Sabah FC berharap agar dapat meneruskan rentak cemerlamg dan mengintai kemenangan hatrik ketika melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC untuk aksi tertunda Liga Super 2024-25 di Stadium Likas pada Selasa.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee menegaskan The Rhinos perlu mengekalkan prestasi kemenangan yang dilakukan pada dua perlawanan di tempat lawan menentang Perak FC dan Penang FC sebelum ini.
Kim Swee juga menyatakan apa yang penting adalah semua pemain perlu kembali fokus dengan tugas utama mereka sekali gus mencapai tiga mata penting di laman sendiri.
“Kedah adalah satu pasukan yang lebih baik di mana saya percaya mereka mendapat suntikan yang cukup baik dengan dua keputusan positif di laman sendiri sebelum ini.
“Kita tidak boleh mengambil mudah dan saya tidak mengharapkan jaringan besar namun apa yang penting kita berakhir dengan keputusan positif sekaligus meletakkan kita di kedudukan yang lebih selesa,” katanya.
Kim Swee juga menuntut semua pemain agar tidak mengambil mudah perlawanan ini dan berharap para penyokong dapat hadir ke Stadium Likas untuk memberikan sokongan kepada anak-anak buahnya.
“Kita harap agar penyokong setia datang beramai-ramai memberikan sokongan padu petang esok sekali gus memastikan Sabah FC kekal mencapai kemenangan berganda petang esok,” jelasnya.
Sabah merekodkan dua kemenangan berturut-turut selepas membenam Perak 2-4 di Manjung dan membelasah Penang FC 0-4 di Pulau Pinang untuk menduduki tempat ketiga dan semakin menghampiri kedudukan Selangor FC.