PASUKAN Sabah FC gagal melepasi saingan separuh akhir zonal Piala AFC 2023-2024 selepas tewas 3-0 kepada Macarthur FC di Stadium Campbelltown, Australia, sebentar tadi.
Corak permainan yang ditampilkan oleh Sabah FC kurang memberangsangkan apabila Datuk Ong Kim Swee awal-awal lagi akur bahawa mereka akan tampil sebagai pasukan ‘underdog’ kerana tidak terdedah dengan latihan komprehensif sebelum perlawanan.
The Rhinos terpaksa berputih mata apabila gawang gol mereka telah dibolosi oleh kapten pasukan Macarthur sendiri, Alejandro Davila pada minit ke 39.
Pada separuh masa kedua, jelas kekuatan Sabah FC semakin dinafikan oleh skuad Macarthur apabila serangan demi serangan dilancarkan ke kawasan petak penalti Sabah sejurus tekanan yang dilakukan telah menghasilkan gol kedua buat mereka pada minit ke-46.
Sabah FC cuba untuk menyerang kubu pasukan lawan namun serangan yang dihantar telah dibaca lebih awal oleh pasukan tuan rumah sendiri.
Kekecewaan skuad The Rhinos semakin ditambah apabila Jed Drew menjadi wira Macarthur apabila berjaya menendang bola tepat ke arah gawang gol sekali gus menewaskan penjaga gol utama Sabah, Khairul Fahmi pada minit ke-80 perlawanan.
Gol ketiga buat pasukan tuan rumah itu dalam masa yang sama telah menamatkan keputusan 3-0 di Stadium Campbelltown, Australia untuk melayakkan pasukan mereka ke saingan akhir zonal AFC.
Nampaknya, tumpuan pasukan Sabah FC kini akan berubah lebih kearah liga bola sepak Malaysia apabila perjuangan mereka telah tamat di saingan Piala AFC musim 2023.