Kredit Foto: MFL

SABAH FC meneruskan rentak cemerlang apabila membenam Kedah Darul Aman FC 5-2 sekaligus memenangi perlawanan ketiga berturut-turut Liga Super 2024-25 ke atas lawan dari utara Semenanjung Malaysia.

Skuad Datuk Ong Kim Swee mengulangi gol pantas seperti di Pulau Pinang apabila terus mengasak kubu Sang Kenari dan berhasil mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan Saddil Ramdani untuk meletakkan Sabah di hadapan seawal minit kedua.

Sabah terus menekan pertahanan Kedah untuk mendapatkan gol kedua namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah selain ketangkasan Ifwat Akmal yang mengecewakan Joao Pedro.

Ketika babak pertama hampir ditamatkan, Kedah tiba-tiba memperolehi gol penyamaan selepas Clayton sekali lagi menjaringkan gol untuk jaringan ketiga berturut-turut peribadinya.

Bersambung babak kedua, seperti juga di babak pertama, Sabah tidak menunggu lama untuk kembali mendahului kali ini menerusi Joao Pedro yang mudah menolak masuk hantaran Daniel Ting pada minit ke-49.

Barisan kendalian Nafuzi Zain bagaimanapun tidak menyerah kalah apabila Milos Gordic akhirnya menemui sentuhan jaringan dengan mengambil kesempatan keadaan kelam kabut di depan gol Sabah pada minit ke-64.

Joao Pedro menjaringkan dua gol untuk terus menjadi penyerang berbahaya Sabah FC

Kedudukan 2-2 hanya bertahan empat minit apabila Joao Pedro sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gawang dengan gol kedua peribadi dan ketiga dalam perlawanan ini untuk memberikan kelebihan buat tuan rumah.

Kira-kira lebih 5,000 penyokong Sabah bergembira apabila S.Kumaahran menyempurnakan gol keempat sebelum Gary Steven Robbart memuktamadkan kemenangan dengan gol kelima sekaligus tiga mata penuh buat Sang Badak.

Kemenangan ini meletakkan Sabah di tangga ketiga, ketinggalan hanya tiga mata di belakang Selangor dan ini sudah pasti akan memberikan peluang buat mereka mencabar kedudukan menjelang pusingan kedua Liga Super.