BERITA baik menanti para penyokong Sabah FC apabila kelab dijangka akan melancarkan secara rasmi jersi pasukan menerusi kerjasama dengan Lotto pada 9 Mei menjelang permulaan musim baharu Liga Malaysia 2024-25.

Pengarahnya, Mohd Joh Wid berkata, pada ketika ini beberapa persiapan di peringkat akhir sedang dilaksanakan termasuk menerima sampel persediaan sebelum pelancaran yang akan berlangsung secara virtual.

Lotto dipilih selepas mengambil kira reka bentuk, kualiti dan fabrik jenama itu yang sesuai dengan cuaca dan cita rasa penyokong serta peminat Sabah FC.

Sabah FC lanjut kerjasama dengan Lotto Malaysia

“Semua penyokong dan peminat Sabah FC diminta bersabar, sudah tentu kerjasama di antara Sabah FC dan Lotto Malaysia akan menampilkan ciptaan serta rekabentuk yang istimewa untuk penyokong di negeri Sabah.

“Sabah FC sebelum ini membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan jenama Lotto sebagai rakan penyedia jersi pasukan pada musim baharu 2024-25,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu.

Mohd Joh berkata, sebelum ini Sabah FC sudah mengumumkan penyambungan kerjasama itu selaras dengan pilihan yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani di antara kedua-dua pihak pada 2021.

Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid

“Kita berharap jersi yang digunakan Sabah FC untuk kempen musim ini akan terus mendapat sambutan penyokong dan peminat seperti pada tahun-tahun lalu,” jelas Mohd Joh.

Sebelum ini Sabah FC menyerahkan watikah pelantikan semula kepada Ketua Pembangunan Perniagaan dan Strategi Lotto Malaysia, Amirul Syafiq Azidin, bagi meneruskan kerjasama yang dijalin sebelum ini.

Menurut Amirul Syafiq Azidin, pihaknya teruja untuk meneruskan sokongan mereka kepada Sabah FC sejak 2021 sekali gus meningkatkan imej pasukan Sabah FC di persada musim baharu 2024-25.