BIARPUN Selangor FC dianggap sebuah pasukan yang kuat, pemain Sabah FC tetap percaya kepada percaturan Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee dan mahukan tiga mata penuh di gelanggang sendiri.
Menjelang pertembungan Sabah dan Selangor di Stadium Likas, pemain sayap kanan Sang Badak, Saddil Ramdani yakin, keserasian sudah diperoleh pemain dan ia diterjemahkan dengan kemenangan besar 6-1 ke atas Kelantan, pada perlawanan kesembilan Liga Super.
“Bagi saya, pemain senior dan legenda (Indonesia) pernah bermain dengan Selangor, ya tidak dinafikan mereka pasukan sangat besar di Malaysia… tetapi lebih utama adalah kami jaga permainan kami sendiri, kami percayakan pasukan dan percaturan jurulatih, apa lagi beraksi di kandang sendiri dan kita pasti tampilkan yang terbaik dan meraih tiga mata,” kata Saddil ditemui pada sesi latihan, Rabu.
Menurutnya, Sabah mempunyai skuad utama dan barisan pemain simpanan yang sangat luar biasa, dan prestasi pemain di atas padang bakal menentukan siapa pemenang bagi perlawanan itu.
Mengulas mengenai pertembungan percaturan dua bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Swee (Sabah) dan Tan Cheng Hoe (Selangor) pada perlawanan tumpuan itu, Saddil berkata: “Kedua-dua jurulatih memiliki tipikal dan taktikal masing-masing, malah selama liga super bermula, mereka mempamerkan prestasi luar biasa, namun dia bersama rakan sepasukan akan memastikan aksi terbaik buat menyokong Kim Swee.”
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, pertembungan dengan Selangor menjadi perlawanan sangat penting buat Sabah.
“Kita agak jauh dipisahkan, lima mata di belakang Selangor. Kita akan bermain di tempat sendiri jadi jika kita gagal dapatkan mata, kita akan terus jauh ketinggalan.
“Malah Selangor berbekalkan empat kemenangan berturut-turut dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, suatu yang perlu diambil kira namun Sabah juga mencapai kemenangan di gelanggang sendiri.
“Saya tidak akan mengambil pendekatan untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan malah kami tidak boleh keciciran mata lagi, untuk merapatkan jurang,” kata Kim Swee.
Tambah beliau, pertembungan Sabah-Selangor menjadi medan menilai kemampuan kedua-dua pasukan, siapa lebih kebal di laman sendiri.
Pada perlawanan terakhir, Sabah mengatasi Kelantan 6-1 di laman sendiri, manakala Selangor pula membenam cabaran Terengganu, 5-1 juga di laman sendiri.