PENGURUSAN Sabah FC wajar diberikan pujian kerana dilihat mempamerkan kesungguhan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim Liga Malaysia 2023 dengan menandatangani beberapa pemain baharu yang berkualiti.

Antara pemain yang berjaya dipikat Sang Badak untuk menabur budi adalah dua pemain berpengalaman Darren Lok dan Irfan Zakaria selain mendapatkan khidmat Stuart Wilkin secara tetap.

Sabah FC yang juga bakal beraksi di Piala AFC juga dilihat giat menambah baik fasiliti kelab bagi memastikan setiap pemain selesa dan boleh memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Terbaharu Sabah FC dilihat sedang menaik taraf padang di pusat latihan dengan menambah baik sistem perparitan bagi memastikan tiada takungan air yang boleh menjejaskan sesi latihan serta boleh mengelak dari berlakunya kecederaan kepada para pemain.

Padang latihan adalah antara elemen terpenting dalam setiap kelab bola sepak profesional kerana para pemain banyak menghabiskan masa di pusat latihan berbanding di stadium.

Dengan padang latihan yang sempurna, segala perancangan jurulatih untuk pasukan dapat dijalankan dengan baik tanpa perlu risau tentang gangguan cuaca dan padang becak.

 

Penambahbaikan yang dijalankan ini diharap akan berterusan supaya dapat menambah nilai profesionalisme dan komersil Sabah FC sebagai salah satu kelab yang membawa nama Malaysia di pentas Asia.

Sabah FC berjaya layak ke Piala AFC 2023/2024 selepas mendapat tempat ketiga Liga Super di belakang juara, Johor Darul Ta’zim dan pasukan tempat kedua, Terengganu FC.