KELAB Bola Sepak Sabah mengumumkan kemasukan pemain import baharu dari Brazil, João Pedro Boiera Duarte yang akan menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua.
Perkara ini diumumkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab dengan Joao bakal mengambil alih tugas penyerang utama yang ditinggalkan Ramon Machado apabila dia menamatkan kontraknya lebih awal untuk menyertai kelab di Liga Azerbaijan.
Sebelum ini menerusi satu hantaran oleh Pengerusi Sabah FC, Datuk Shahelmy Yahya, dia telah mengesahkan skuad Badak akan menandatangani seorang pemain import baharu untuk menguatkan pasukan pada pusingan kedua Liga Super.
Pemain berusia 24 tahun ini mengikat kontrak selama sembilan bulan bermula 15 Ogos 2024 hingga 30 April 2025 pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2024/2025 dan diperkenalkan kepada media ketika sesi latihan pertamanya pada Selasa.
Sabah FC menjadi destinasi kedua buatnya di Asia Tenggara selepas bermain bersama Viettel FC di Liga Vietnam ketika pusingan kedua liga dari Mac hingga Julai 2024.
Kehadirannya diharap dapat membantu jentera serangan Sabah FC selepas Ramon Machado memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal bersama kelab sebelum ini.