PASUKAN Sabah FC mengesahkan sudah menerima surat tawaran untuk menyertai Kejohanan Kelab Asean (ACC) 2024-25 dan kini akan menunggu lampu hijau dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penglibatan mereka dalam kejohanan kelab-kelab Asia Tenggara itu.

Ini selepas Malaysian Football League (MFL) mengesahkan telah mencalonkan Sabah sebagai pasukan tempat ketiga Liga Super 2023 dan Kedah, pasukan tangga keempat untuk mengisi dua slot yang dikhususkan buat Malaysia.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengarah Sabah FC, Md Joh Wid yang dihubungi FLASH SUKAN susulan pengumuman yang dibuat oleh MFL pada Selasa.

ACC 2024-25 dijadualkan akan dilangsungkan semula oleh Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) sebagai satu kejohanan yang menemukan juara-juara kelab Asean melibatkan 12 kelab dari liga seluruh Asia Tenggara.

AFF mencadangkan 12 pasukan dengan dua slot diberikan kepada Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam manakala masing-masing satu dari Filipina dan Singapura dengan dua lagi slot bakal diisi kelab Myanmar, Laos, Brunei dan Kemboja yang akan ditentukan menerusi play offs.

Kejohanan ACC ini akan membenarkan semua pasukan menggunakan empat pemain import dengan tiga kuota terbuka dan satu kuota Asia manakala pemain Asean dikira sebagai pemain tempatan dan akan ditentukan ketika undian.

Md Joh Wid (kiri) bersama trofi Piala AFC

Skuad Badak kini sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi separuh akhir zonal Piala AFC menentang Macarthur FC dari Australia di Campbelltown pada 13 Februari dengan majoriti pemain sudah kembali menjalani latihan.

Dua tonggak kebangsaan, Darren Lok dan Stuart Wilkin turut kembali menjalani latihan selepas pulang dari tugasan Piala Asia di mana Malaysia berjaya membawa pulang satu mata berharga selepas mengikat Republik Korea.