PASUKAN Sabah FC memasang impian untuk membenam Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super 2024-25 yang akan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan dia sedar bahawa NSFC adalah lawan berbahaya kerana memiliki barisan pemain yang bagus namun pihaknya akan berjuang untuk mendapatkan tiga mata penuh.

Menurut Ong, skuad Badak perlu mendapatkan keputusan positif selepas tewas dua perlawanan di laman sendiri sekaligus memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan ini.

Datuk Ong Kim Swee yakin Sabah mampu lakar kejayaan

“Kita tewas kepada pasukan Terengganu FC dan harus melupakan bab Piala FA selain tewas kepada JDT, jadi kita akan fokus memberi tumpuan semula kepada perlawanan Liga Super.

“Perlawanan menentang NSFC sangat penting untuk kita menambah keyakinan serta memastikan kita tidak lagi akan kehilangan mata sekali gus memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” katanya

Kim Swee turut menegaskan berdasarkan kepada prestasi semasa, Sabah FC dijangka akan mencapai keputusan cukup positif pada perlawanan ini dan menuntut komitmen penuh daripada para pemain.

“Beraksi di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada Sabah FC dan seboleh-bolehnya kita ingin memperoleh tiga mata berharga. Kita sudah bersiap sedia dari segi taktikal, mental serta meningkatkan keupayaan pemain agar memberikan komitmen tinggi untuk mencapai keputusan positif,” jelasnya.

Sabah kini ditangga kelima dengan tujuh mata selepas empat perlawanan dan sebarang keputusan positif menentang NSFC mampu melonjakkan Sang Badak ke kedudukan yang lebih baik dalam liga.