KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee gembira dengan prestasi yang ditampilkan para pemainnya terutama ketika menyempurnakan peluang selepas menewaskan Kelantan FC 6-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Selepas melalui tiga perlawanan tanpa kemenangan di laman lawan, Sabah kembali ke Likas dan berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut selepas turut sama mendapat keputusan positif dalam saingan Piala FA.
Dia juga faham akan kepentingan perayaan Aidilfitri kepada para pemain dan berharap rehat yang diberikan cukup untuk mereka menyambut perayaan ini bersama keluarga.
Ong juga mahu para pemainnya mengekalkan rekod cemerlang di Likas disamping memperbaiki persembahan ketika beraksi di laman lawan bagi memastikan tidak ketinggalan dalam perebutan kejuaraan Liga Super.
“Apa yang penting adalah tiga mata dan kita dapat kekalkan rekod tanpa kalah di Likas. Selepas berjaya dalam aksi Piala FA, para pemain menampilkan satu prestasi yang baik terutama menyempurnakan peluang yang ada dan kami mahu kekalkan momentum untuk perlawanan akan datang.
“Kita tahu perlawanan selepas ini penting tetapi kita juga harus fikirkan tentang perayaan yang penting untuk pemain beragama Islam. Kita tidak boleh berikan cuti yang agak panjang tetapi perlu beri ruang kepada mereka untuk bersama keluarga kerana ini amat penting sebelum kita kembali berlatih semula.
“Rekod kami di tempat lawan adalah satu seri dan dua kali tewas. Kita perlu perbaikinya dan itu adalah pengajaran untuk kita dan kini kami berada di landasan terbaik untuk kekalkan rekod 100 peratus di Kota Kinabalu serta perbaiki rekod di tempat lawan. Saya harap tiga atau empat perlawanan selepas ini kita perlu ambil peluang sepenuhnya untuk elakkan berada terlalu jauh dari takhta liga,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu pembantu jurulatih Kelantan FC, Rezal Zamberi Yahya berkata kesilapan individu dan kegagalan mematuhi arahan taktikal adalah punca pasukannya tewas tetapi masih percaya perubahan akan datang dalam skuad untuk menghadapi musim yang masih lagi panjang.
“Prestasi pemain terutama kesilapan individu menyebabkan kami lepaskan gol yang tidak sepatutnya. Kami gagal menang pertarungan satu lawan satu dan pemain perlu tingkatkan prestasi kerana mereka beraksi di Liga Super. Pembaharuan perlu dilakukan kerana liga masih panjang.
“Kesilapan individu menjadi punca kami tidak dapat bermain permainan kami selain kelekaan dan tidak mengikuti arahan taktikal menjadi punca kekalahan namun masih ada ruang untuk diperbaiki untuk perlawanan akan datang,” jelasnya.