SABAH FC bakal menerima kunjungan kelab Singapura, Geylang International FC dalam aksi persahabatan antarabangsa pramusim di Stadium Likas pada Sabtu dan akan menggunakan perlawanan ini sebagai medan terbaik mencari keserasian pasukan.

Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw berkata Skuad Badak berbesar hati kerana dapat bertemu sebuah pasukan yang kaya dengan sejarah di Singapura dan berharap para penyokong akan hadir beramai-ramai memberikan sokongan.

Scott juga berkata pasukan Sabah akan mempunyai tiga lagi perlawanan pramusim dan sudah bersedia untuk menghadapi musim Liga Malaysia 2023 bermula dengan perlawanan pertama menentang PDRM FC.

“Bagi pihak Sabah FC, kami mengalu-alukan kehadiran Geylang International FC ke Kota Kinabalu. Geylang adalah pasukan yang kaya dengan sejarah di Singapura serta memenangi pelbagai trofi dan buat kami untuk menerima kelab dengan reputasi hebat ini adalah satu kebanggaan buat kami dan harap penyokong akan terhibur dengan perlawanan ini.

“Dari perspektif Sabah FC, aksi ini adalah untuk mempersiapkan pasukan kerana ini adalah musim baharu selepas musim yang hebat tahun lalu. Kami akan melakukan persediaan pasukan terutama dari segi gandingan pemain kerana banyak pemain baharu yang menyertai pasukan musim ini.

“Kami akan mempunyai tiga lagi perlawanan ujian sebelum sepak mula Liga Super pada 25 Mac nanti dan barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Datuk Ong Kim Swee sudah tahu apa yang mereka mahukan dan kami bersedia untuk menentang PDRM FC,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Likas.

 

Nada yang sama turut dikongsi ketua pasukan, Badrrol Bakhtiar yang menganggap perlawanan pada Sabtu itu sangat penting untuk mencari keserasian dan mahu memberikan aksi terbaik kepada semua penyokong Sabah FC.

“Perlawanan ini adalah platform yang penting untuk kami cari keserasian kerana tahun ini banyak pemain baharu dibawa masuk. Kami akan tunjukkan persembahan terbaik untuk para penyokong dan lakukan yang terbaik dalam perlawanan pertama tahun ini di Stadium Likas,” katanya.

Sabah FC yang baru pulang dari Hua Hin dan Bangkok, Thailand untuk latihan pramusim pastinya mahu mengulangi pencapaian menduduki tempat ketiga Liga Super dan juga akan beraksi di Piala AFC musim ini dan perlawanan menentang Geylang ini adalah antara ujian terbaik bagi menguji kemampuan pasukan sebelum bermula musim 2023.