FOTO: SABAH FC

SELEPAS kecewa hanya membawa pulang satu mata dari Kuantan, Sabah FC menjadikan Penang FC medan melunas dendam dengan kembali melakar kemenangan untuk permulaan yang baik dalam lima perlawanan awal Liga Super.

Dalam aksi di Stadium Likas itu, dua gol daripada kapten pasukan, Park Tae-su serta masing-masing satu daripada Darren Lok dan Daniel Ting memastikan Skuad Badak menang selesa 5-2 untuk terus menekan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim.

Meskipun bermain tanpa Datuk Ong Kim Swee yang digantung satu perlawanan, Sabah bermula dengan baik apabila Tae-su menjaringkan gol pada minit ketiga namun Penang FC tidak tersentak sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan berselang lima minit.

Ketika perlawanan babak pertama menghampiri wisel penamat, Sabah dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Darren Lok untuk kedudukan 2-1 yang dlihat menjejaskan keseluruhan semangat pemain Penang FC.

Bersambung babak kedua, Sabah hanya memerlukan 10 minit untuk menambah gol ketiga menerusi jaringan Daniel Ting yang juga gol kedua peribadinya dalam dua perlawanan berturut-turut.

Tidak cukup dengan tiga gol, Sabah menambah derita Penang FC dengan gol keempat sekali lagi menerusi Park Tae-su untuk melengkapkan malam gemilang Sabah dan mengekalkan rekod baik di Likas sehingga kini.

Bagaimanapun pada minit terakhir perlawanan, Penang FC memperolehi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Adriano namun Sabah masih belum cukup dan menjaringkan gol kelima apabila Rizal Ghazali menyambut masuk sepakan penalti Gabriel Peres untuk kedudukan akhir 5-2.

Dengan kemenangan ini, Sabah kekal di tangga kedua dengan 13 mata manakala Penang pula jatuh ke tangga ke-13 dengan hanya dua mata selepas lima perlawanan dan masih tercari-cari kemenangan pertama musim ini.