PASUKAN futsal Sabah yang sebelum ini meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 di tempat kelima kini memperbaharui sasaran itu kepada tempat ketiga selepas kempen pramusim yang menggalakkan di Thailand.

Skuad kendalian pengendali berpengalaman dari Thailand, Pat Sriwijit kini diperkuat dengan kombinasi dua pemain import berkualiti serta beberapa pemain tempatan berpengalaman dan beraksi di MPFL.

Pasukan Futsal Sabah telah memperkenalkan jersi serta para pemain dalam sebuah majlis di Petaling Jaya pada Khamis bagi menghadapi saingan MPFL 2024 yang bermula pada Sabtu.

Pengerusi Futsal Sabah, Rafiuddin Gulistan menjelaskan sememangnya Sabah melakukan banyak perubahan menjelang musim ini dan melihat Lembah Klang lebih sesuai dipilih sebagai lokasi pasukan kerana berpeluang bertemu lebih banyak pasukan yang lebih kompetitif.

“Untuk tahun 2024 ini kita memang melakukan perubahan dan pembaikan serta kami memilih untuk menjadikan Lembah Klang sebagai ‘base‘ kami kerana ianya memudahkan latihan kami di samping di sini lebih banyak pasukan yang kompetitif dan memudahkan pendedahan pasukan untuk menjadi lebih baik.

“Kesemua pasukan sangat baik dengan kelebihan masing-masing tetapi setelah beberapa bulan kita jalani latihan kami yakin untuk mendapatkan tiga tempat teratas dalam liga dan kehadiran Pat Sriwijit dengan kemahiran taktikal dilihat dapat membantu pasukan kami,” katanya dalam sidang media.

Sabah turut diperkuatkan dua pemain import dari Brazil, Felipe Leite yang pernah beraksi di Liga Thailand dan Joao Gabriel sekaligus memberikan amaran cabaran yang bakal diberikan.

Dalam majlis yang sama, Sabah FA turut mengumumkan tajaan dari lapan syarikat serta jenama sekali gus memastikan kewangan yang kukuh bagi menghadapi musim 2024 yang dijangka menarik.

Sabah akan memulakan kempen saingan MPFL menentang juara dua kali, Selangor FC pada Ahad di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.