SABAH FC perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk membawa bekalan selesa ke Ipoh dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Namun ianya bukan tugas mudah apabila Sabah kehilangan empat pemain utama seperti Stuart Wilkin, Darren Lok, Daniel Ting dan Dominic Tan yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan ke Chengdu, China untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria dan China.

Pengendali Sabah FC , Datuk Ong Kim Swee berkata pasukannya perlu berhati-hati berikutan prestasi semasa skuad The Bos Gaurus yang pernah mengejutkan Kedah sebelum ini dan menuntut komitmen para pemain agar lebih fokus untuk mencatat kemenangan penting di hadapan penyokong sendiri.

“Kita mempunyai percaturan penting Jumaat ini dengan meletakkan beberapa pemain lain yang telah lama tidak diturunkan tetapi apa yang penting mereka perlu bermain secara satu pasukan dan menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan ini nanti.

“Jadi daripada segi persiapan dan taktikal saya tidak nampak kita akan mempunyai banyak masalah walaupun dengan ketiadaan beberapa pemain lain yang terlibat bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Mengulas ketiadaan empat tonggak utama ini Kim Swee berkata, setakat ini tidak banyak perbezaan berikutan pemain telah melalui proses latihan daripada awal tahun sehingga hampir penghujung tahun.

“Apa yang penting beberapa pemain yang menyertai latihan bersama pasukan kebangsaan dapat mengekalkan kecergasan mereka kerana selepas ini ada beberapa perlawanan yang penting termasuk aksi pembukaan Piala AFC,” jelasnya.

Sabah melakukan persiapan dengan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan yang menyaksikan skuad Badak memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1 dan dianggap sebagai medan persiapan yang baik untuk menghadapi Perak.