PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee gembira dengan kemenangan yang dicapai pasukannya dalam saingan Piala FA selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini.

Skuad Badak berjaya menewaskan pasukan yang sedang bergelut, Kelantan United FC 2-0 hasil jaringan Baddrol Bakhtiar dan Stuart Wilkin untuk menempah tiket ke peringkat suku akhir menentang Kuala Lumpur City FC.

“Ianya satu kemenangan yang amat penting selepas kita gagal menang dalam tiga perlawanan liga lepas dan apa yang penting kita dapat jaringkan gol dan yang positifnya adalah kita tidak dibolosi selepas beberapa kali dibolosi sebelum ini.

“Hari ini para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dan bermain sebagai satu pasukan serta dapat mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

“Kita mahu kekalkan momentum untuk capai kemenangan selepas ini. Bagi saya, setiap perlawanan kita tidak boleh ambil mudah walaupun bermain di tempat sendiri dan jika ada sikap yang positif seperti yang kita tunjukkan dalam perlawanan ini kita mampu ulangi keputusan seperti ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu pembantu jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor pula mengakui para pemainnya kini kepenatan akibat menempuh lima perlawanan di tempat lawan namun berbangga dengan aksi yang dipamerkan para pemainnya dalam mengekang asakan Sabah.

Nazrulerwan Makmor

“Pemain saya penat. Kita tidak dapat rehat yang cukup kerana bulan ini kita bermain lima perlawanan dan kesemuanya di gelanggang lawan. Akibatnya kita dapat lihat pemain mudah cedera dalam padang.

Namun ini adalah bola sepak dan kami perlu tempuh segalam halangan. Walaupun bermain hanya dengan sembilan pemain ekoran kecederaan pemain, tetapi kami dapat bertahan sebagai satu unit dan mengelak dari dibelasah teruk,” katanya dalam sidang media yang sama.

Kedua-dua pengendali juga kita akan kembali fokus untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan terakhir liga sebelum Aidilfitri dengan Sabah bakal melayan kunjungan Kelantan FC di Likas manakala Kelantan United akan terbang ke Pulau Pinang untuk menghadapi Penang FC.