SUKAN Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2023 yang berlangsung dari 3 hingga 7 Disember 2023 telah menutup tirainya dan menyaksikan semua atlet memberikan usaha yang terbaik dalam kesemua acara dipertandingkan.
Edisi ke-21 SOPMA ini berlangsung di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang serta turut memperkenalkan lima acara dalam temasya tersebut seperti olahraga, bola sepak (lelaki), futsal (wanita), badminton dan boling.
Lebih 600 atlet dari 14 buah negeri telah menyertai kejohanan ini, yang menyaksikan Negeri Sabah muncul sebagai juara dengan mengumpul 35 pingat (16 emas, 13 gangsa dan enam perak).
Manakala Sarawak dinobatkan sebagai naib juara dengan sembilan buah pingat secara keseluruhan termasuk lima emas, satu gangsa dan tiga perak.
Kontinjen Kedah berada di kedudukan ketiga dengan meraih 11 pingat secara keseluruhan sejurus menjatuhkan pasukan tuan rumah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn memberitahu Kejohanan SOPMA selepas ini akan berlangsung di Sarawak dalam tempoh dua tahun lagi.
Dijangka pada temasya 2025 nanti, tuan rumah bakal menambah tiga lagi acara seperti sukan renang, ping-pong dan orienteering berbanding lima acara yang sedia ada.