BEKAS penyerang berbisa Sabah FC, Bobby Gonzales menggesa agar pemain import Sabah FC dikeluarkan daripada pasukan tersebut untuk saingan Piala Malaysia musim ini.

Ia berikutan prestasi tidak konsisten yang dipersembahkan pemain berasal dari Portugal itu sejak dia dimasukkan dalam skuad Sabah FC.

Lebih merugikan pasukan, apabila pemain tempatan dilihat lebih layak menggalas tugas buat menggantikan posisi serangan yang kini diberi kepada Jose Embalo untuk menjaringkan gol.

“Inilah masalah yang kita hadap dari tahun lepas. Bukan apa, import ini sangat penting dalam setiap pasukan.

“Masalah Sabah sekarang tidak konsisten kerana kita tidak ada import yang boleh jaringkan gol.

“Embalo pun kalau kita lihat lebih baik masukkan pemain lokal. Lebih baik letak Amri Yahyah di situ. Kita tahu Amri boleh beraksi dengan baik.

“Setiap perlawanan dia harus jaringkan gol. Kita tidak kisah dia skor macam mana, yang penting dia tetap skor.

“Bila diberi peluang, dia juga tidak menunjukkan sebarang usaha. Pertahanan lawan pun tidak boleh dia tewaskan. Saya rasa patut ditukar. Sabah harus mengambil import yang lebih bagus,” ujarnya ketika dihubungi Flash Sukan.

Dalam pada itu, bekas pemain berusia 38 tahun itu turut mensarankan agar Sabah FC mengambil seorang penyerang yang benar-benar memiliki kemampuan menjaringkan gol serta seorang pemain pertahanan yang benar-benar memiliki kualiti mengekang dan mematahkan asakan lawan.

“Sabah perlukan satu penyerang yang ‘horny‘, yang boleh jaringkan gol, targetman dan satu pertahanan yang baik.

“Kita ada Saddil Ramdani, kita ada Park Tae Soo. Sekarang kita hanya perlukan seorang penyerang yang benar-benar bernafsu menjaringkan gol,” katanya.