SABAH FC merampas status pendahulu Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mencatatkan kemenangan 2-1 mengatasi Sri Pahang di Stadium Likas, pada Sabtu.

Sabah berada di depan seawal minit ke-10 menerusi Neto Pessoa dan Taiki Kagayama menggandakan kelebihan tuan rumah lapan minit berselang.

Pelawat merapatkan kedudukan menerusi Manuel Hidalgo m-60 yang merupakan jaringan kelima peribadinya musim ini.

Tuan rumah berpeluang menambah jaringan tetapi sepakan penalti Neto Pessoa berjaya ditepis oleh Zarif Irfan Hashimuddin m-70.

The Rhinos di bawah pimpinan Datuk Ong Kim Swee kini mengumpul 18 mata selepas beraksi lapan perlawanan.

Sementara itu, aksi ‘Naning Derby’ antara Negeri Sembilan FC dan Melaka United berkesudahan seri tanpa jaringan.