PASUKAN bola sepak wanita Sabah tidak menoleh kebelakang dan mahu beraksi dengan cemerlang di edisi pertama Liga Juara-Juara AFC Wanita 2024-25 apabila menyambar lima pemain baharu sebagai usaha untuk menambah kekuatan pasukan sedia ada.

Skuad kendalian Justin Ganai itu bakal membawa cabaran Malaysia di peringkat kelayakan di mana Sabah menjadi tuan rumah buat dua kelab dari Uzbekistan dan Nepal untuk merebut tempat ke peringkat kumpulan.

Atas sebab itu, Sabah menyunting tiga pemain import – dua dari Jepun dan seorang dari Myanmar manakala dua bintang kebangsaan turut dibawa masuk bagi memastikan penampilan pertama Sabah akan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan.

Dua bintang Jepun itu adalah Misaki Nakayama, 21 tahun yang dibawa dari kelab Yamato Sylphid dan Eri Narita, 26 tahun dari kelab AC Nagano Parceiro yang pastinya akan menambah sengat bahagian tengah.

Sabah juga tidak melupakan bakat tempatan apabila berjaya memancing khidmat penyerang kebangsaan, Intan Serah Anisah dan kapten Malayan Tigress, Steffi Sidhu.

Kemasukan lima pemain ini dijangka menambah kekuatan pasukan Sabah dengan pengurus pasukan, Arziz Afizy menjelaskan mereka teruja untuk menghadapi kejohanan Asia ini dan berharap pasukan dapat pergi sejauh mungkin dalam pertandingan ini.

Arziz Afizy (tengah) bersama barisan pengurusan skuad wanita Sabah

“Kita gembira kerana Intan dan Steffi menyertai kami dan ini semua atas persetujuan daripada Kelana United sementara pasukan berhenti rehat seketika dari saingan Liga Wanita Nasional.

“Dengan kehadiran mereka serta tiga lagi pemain import, kami meletakkan sasaran untuk menang kedua-dua perlawanan kelayakan ini seterusnya layak ke peringkat kumpulan melibatkan 12 pasukan terbaik Asia,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN. 

Sabah bakal menentang PSF Nasaf dan APF FC dalam Kumpulan C dengan Stadium Likas menjadi tuan rumah kesemua perlawanan yang bermula dari 25 Ogos hingga 31 Ogos 2024.

Jadual perlawanan pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC Wanita

Sekiranya menjuarai kumpulan, Sabah akan layak ke peringkat kumpulan dan bakal bersaing dalam Kumpulan C A bersama-sama kelab China, Wuhan Jiangda dan wakil Republik Korea, Incheon Red Angels serta pemenang pusingan kelayakan Kumpulan A.