SABAH mencipta kejutan apabila muncul juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 mengatasi juara bertahan, Sarawak yang sebelum ini mendominasi 13 temasya lalu.

Koleksi 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa yang diraih kontinjen Negeri Di Bawah Bayu, tidak mampu dicabar tetangga, Sarawak yang membawa pulang 50 emas, 47 perak serta 49 gangsa dan sekadar berpuas hati di tangga kedua.

Kontinjen Johor menduduki tempat ketiga dengan 38 pingat emas , 30 perak dan 25 gangsa.

Ketua Kontinjen Sabah, Datuk Mansur Assun berkata, kejayaan itu tidak diduga kerana kontinjen Sabah sekadar mensasarkan kedudukan kedua keseluruhan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan Sabah muncul juara keseluruhan kerana sasaran asal kita 40 emas.

“Latihan yang kita lakukan sejak 2018 membuahkan hasil, kejayaan ini adalah hasil usaha keras semua termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Pestron (Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya Sabah) serta ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan kepada atlet,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah berkata, olahraga dan renang menjadi penyumbang terbesar pingat buat kontinjen Sabah.

Jelasnya, olahraga menyumbang 30 pingat emas, manakala, renang membawa pulang 12 emas dan ping pong lapan emas.

“Kita juga mensasarkan dua emas dalam acara memanah dan kita berjaya berbuat demikian, sementara satu pingat emas tidak diduga dari boling padang dan tenpin boling turut menyumbang satu emas,” katanya.

Olahraga menjadi penyumbang terbesar pingat buat Kontinjen Para Sukma Sabah dengan 30 emas, 18 perak dan 17 gangsa.

Mansur menambah, Kerajaan Negeri Sabah juga menjanjikan insentif untuk para atlet yang memenangi pingat pada temasya Para Sukma.

“Untuk pemenang pingat emas, atlet akan menerima insentif RM5,000, manakala pingat perak RM1,500 dan gangsa RM800,” ujarnya.

Katanya lagi, menyaksikan pencapaian cemerlang yang dicatat atlet para Sabah, kerajaan negeri juga merancang untuk menubuhkan persatuan yang mengendalikan aktiviti orang kelainan upaya (oku) dengan mewujudkan enam bahagian bagi memantau 27 daerah di negeri itu.

Renang menjadi penyumbang pingat emas kedua terbesar kontinjen Para Sukma Sabah dengan 12 emas, 5 perak dan 6 gangsa.

Malah katanya, Internal Sirkit iaitu pertandingan membabitkan enam bahagian akan dimuakan tahun 2024.

Katanya, mereka memerlukan kejohanan sebegitu kerana untuk menyertai pertandingan di Semenanjung Malaysia, menelan kos tinggi.