KETUA Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Marzuki Nasir menghormati keupayaan yang dimiliki pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat.
Jelasnya, JDT boleh dianggap sebagai benchmark untuk pasukan lain di Malaysia menguji sejauh mana kemampuan mereka apabila bertemu dengan skuad Harimau Selatan itu.
Namun, berbekalkan taktikal dan corak permainan yang diterapkan jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, beliau yakin The Rhinos dapat mengekalkan rekod cemerlang sebelum ini pada pertemuan esok menentang JDT.
“Kita memang hormati JDT sebagai suatu pasukan yang boleh dikatakan benchmark di Malaysia. Semua pasukan mahu mengejar. Kalau dapat sesuatu dari SSI juga sudah cukup baik.
“Apabila kita ingin mencipta sesuatu, persiapan juga haruslah baik. Ia adalah baik untuk liga di mana semua pasukan di bawah ingin mencipta sesuatu. Dengan taktikal daripada jurulatih, ia merupakan perkembangan yang sihat.
“Setakat ini momentum pasukan berada dalam keadaan baik. Dari perlawanan lepas, momentum Sabah FC cukup baik Saya cakap dengan jurulatih Ong Kim Swee setiap perlawanan kita anggap sama dan tidak berbelah bahagi,” jelasnya ketika ditemui pada Pelancaran MOU Fujifilm Malaysia dan Sabah FC.
Dalam pada itu, dia menjelaskan bahawa kerjasama ini bakal menguntungkan kedua-dua belah pihak menerusi beberapa rangkaian strategi pemasaran yang baik.
Selain itu, berbekalkan peralatan FUJIFILM yang baik, ditambah pula dengan penyokong Sabah FC yang ramai, mereka mampu melihat kualiti yang dimiliki syarikat fotografi itu untuk digunapakai dalam urusan masing- masing.
“Saya rasa ia akan menguntungkan kedua-dua pihak. Dengan strategi pemasaran yang baik, bukan sahaja dari aspek penyokong Sabah FC tetapi orang ramai yang ingin mengetahui lebih tentang FUJIFILM.
“FUJIFILM ada peralatan yang baik. Ia dipanggil seni halus, jadi untuk Sabah FC kita boleh melihat bahawa kita mempunyai antara pengikut terbanyak di media sosial, jadi ia akan membantu dari sesiapa yang berminat tentang fotografi,” katanya.