PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya memandang enteng keupayaan pasukan Selangor FC apabila kedua-dua pasukan itu bertemu untuk aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Selasa.
Meskipun Selangor tidak mempunyai rekod yang baik di tempat lawan, Kim Swee tetap yakin Gergasi Merah akan memberikan tentangan hebat buat anak-anak buahnya untuk mencipta kemenangan pertama di luar Petaling Jaya.
Dari lima pertemuan di gelanggang lawan dalam dua pertandingan, Selangor FC masih belum mencapai tiga mata penuh dan hanya mampu mengutip satu mata hasil keputusan seri keatas Sri Pahang.
Kim Swee juga gembira apabila kemenangan Sabah keatas Sri Pahang di Temerloh Jumaat lalu memberikan motivasi positif buat pasukannya untuk bertemu lawan yang baik.
“Kemenangan di Temerloh tempoh hari berikan kita sesuatu yang positif sebagai persediaan hadapi Selangor. Saya yakin mereka akan berikan cabaran yang sengit walaupun mereka ada rekod yang kurang baik di tempat lawan.
“Kita tidak boleh ambil mudah dan menilai mereka dari keputusan-keputusan sebelum ini kerana Selangor kini mempunyai semangat selepas layak ke final Piala FA,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu juga mengakui senarai kecederaan skuad Badak kini semakin panjang dengan beberapa pemain utama mungkin terpaksa diketepikan dalam aksi yang getir ini.
“Senarai kecederaan masih panjang seperti Gabriel Peres, Stuart Wilkin, Miguel Cifuentes dan yang terkini, Park Tae-su pula tercedera yang mana mereka mungkin akan diketepikan dalam perlawanan ini,” jelasnya.
Sabah kini berada di tangga keempat Liga Super dengan 13 mata selepas tujuh perlawanan manakala Selangor FC pula ditangga kedua dengan 16 mata dan perlawanan di Likas pastinya akan menjadi satu pertemuan yang penting bagi kedua-dua pasukan.