PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mempersoalkan tindakan para penyokong termasuk media yang meminta dirinya meletakkan jawatan selepas aksi hambar dalam dua perlawanan awal Piala Asia 2023.

Dia nyata kecewa dengan kritikan yang diberikan dan bersedia untuk menerima kritikan sekiranya skuad kendaliannya gagal beraksi baik dalam dua perlawanan menentang Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dia sedar sebagai jurulatih, dia tidak boleh lari dari dikritik tetapi apa yang diterima selepas dua perlawanan Piala Asia itu dianggap sebagai tidak mesra dan tidak adil.

Kim Pan-gon ketika sesi bersama media pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya

“Jika keputusan selepas ini tidak baik adakah anda akan serang saya sekali lagi? Sebagai jurulatih saya tahu saya tidak boleh lari dari kritikan tetapi ianya kurang mesra dan tidak adil. Saya rasa lebih baik jika kita meletakkan harapan dari putus asa.

“Dalam masa dua tahun ini, kami meletakkan banyak usaha dan memberikan kegembiraan buat penyokong Malaysia tetapi selepas satu perlawanan, anda menyerang saya dan meminta saya meletak jawatan.

“Perkara ini membuatkan saya kecewa dan menyakitkan hati,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM pada Jumaat.

Sebahagian daripada 21 pemain Harimau Malaya yang menyertai hari pertama kem latihan pusat

Jurulatih asal Republik Korea itu kini sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi dua perlawanan menentang Oman dan dia mahu para penyokong memahami situasi semasa skuad kebangsaan yang agak ketinggalan dalam sudut kecergasan dan minit permainan.

“Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Keadaan berbeza ketika ini kerana kami agak ketinggalan dari sudut kecergasan pemain dan minit permainan kerana liga hanya bermula pada Mei.

“Sangat penting agar semua bersatu kerana sasaran kita sekarang berbeza untuk layak ke Piala Asia setiap empat tahun. Kita perlu menunggu kerana ‘nasi tak boleh dimasak dalam satu minit’, kita perlukan masa dan percaya dengan proses ini,” jelasnya.

Malaysia boleh mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2027 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sekiranya berjaya mencatat keputusan positif dalam dua aksi bertemu Oman di Muscat pada 21 Mac dan di Bukit Jalil pada 26 Mac.

Untuk rekod, Harimau Malaya kini mendahului kedudukan Kumpulan D dengan enam mata selepas meraih dua kemenangan ke atas Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei pada November 2023.