BEKAS pertahanan kebangsaan, Mohd  Sabre Mat Abu menjangkakan Malaysia tidak berdepan masalah dalam aksi sulung kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Myanmar pada Rabu.

Bersandarkan dua perlawanan persahabatan sebelum ini, Malaysia dilihat berada pada prestasi terbaik meneruskan momentum kemenangan.

“Persiapan pasukan Malaysia, saya kira cukup lengkap dengan dua siri persahabatan. Insya Allah mereka boleh dapat keputusan yang baik.

“Bagi saya, saya jangka tiada masalah. Saya harap Malaysia boleh menang untuk pembakar semangat. Sebab kalau sudah kalah, memang sukar sikit sama ada boleh bangun atau tidak,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Mengimbau aksi Piala AFF 2010 semasa skuad kebangsaan berjaya meraih kemenangan sulung Piala AFF, dia menyifatkan tahun tersebut merupakan tahun paling bermakna memandangkan Malaysia tewas pada perlawanan peringkat kumpulan kepada Indonesia namun akhirnya berjaya dinobatkan sebagai juara Piala AFF pada tahun tersebut.

“Kami tidak jangka kami boleh layak ke final. Kami tewas perlawanan pertama dengan Indonesia 5-2. Tetapi Alhamdulillah sokongan, semangat daripada pengurusan dan penyokong berjaya membawa kami ke peringkat akhir,” ujarnya.

Sebagai bekas pemain, Sabre menasihatkan pemain kebangsaan terus berjuang dan tidak mengenal erti putus asa sekiranya berdepan kekalahan di peringkat kumpulan kerana sejarah berjaya membuktikan skuad kebangsaan mampu menjadi juara Piala AFF pada 2010.

“Bagi saya, kita tidak boleh mengalah. Harus sentiasa bersemangat dan percaya kepada kebolehan pasukan kerana kita tidak tahu. Itulah yang terjadi pada aksi Piala Dunia Qatar apabila Argentina berjaya meraih kemenangan Piala Dunia kali ini,” katanya berada dalam skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009.

Dia kini mencuba bidang baru sebagai seorang usahawan dengan mengusahakan perniagaan restoran yang diberi nama Teratak Laman Suri yang terletak di Parit Buntar, Perak.