KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil gembira dengan aksi yang ditunjukkan penyerang baharu, Alvin Fortes yang padanya telah menunjukkan keserasian bukan sahaja dengan rakan sepasukannnya tetapi juga dengan keadaan bola sepak di Malaysia.

Penyerang berusia 29 tahun berasal dari Cape Verde itu dibawa masuk dari Liga Thailand dan berjaya memukau para penyokong ketika menjaringkan dua gol untuk membantu The Red Giants menewaskan Brunei DPMM FC 4-0 dalam kejohanan Selangor Asia Challenge 2024.

Dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya itu, Alvin mempamerkan aksi pantas dan bertenaga serta kemampuan untuk menggelecek barisan pertahanan selain mampu menjadi pengumpan buat rakan sepasukan yang lain menjaringkan gol.

Nidzam gembira dengan persembahan sebagai satu pasukan

“Bagus untuk dia di pramusim ini sebab sudah terlibat dalam pembinaan serangan dan menjaringkan beberapa gol. Ini penting untuk dia kerana dia tunjukkan dia serasi dengan liga dan bukan hanya serasi dengan rakan sepasukan.

“Dia pernah bermain di Liga Thailand jadi ianya lebih kurang dengan Liga Malaysia cuba berbeza sedikit dari segi budaya. Saya sangat gembira dengannya kerana dia bekerja keras dan tunjuk sikap yang sama dalam latihan. Dalam aksi ini dia berjaya buktikan kemampuannya dan sangat baik untuknya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Nidzam juga turut berpuas hati dengan aksi sepasukan terutama dari sudut komitmen dan mentaliti pemain yang jelas sudah memahami kehendak yang dia mahukan sebagai ketua jurulatih.

“Pemain menunjukkan dua babak yang berbeza tetapi mereka menunjukkan sikap dan mentaliti yang baik dengan bermain sebagai satu pasukan yang buatkan saya gembira dengan komitmen pemain dalam permainan ini,” tambahnya.

Pengendali DPMM FC, Rui Capela mengakui pasukannya banyak belajar dari perlawanan ini

Sementara itu pengendali DPMM FC, Rui Capela mengakui pasukannya dapat mempelajari banyak perkara dalam perlawanan ini sebagai persediaan untuk menghadapi musim baharu Liga Premier Singapura 2024-25 dan menganggap Selangor sebagai satu pasukan yang cukup baik untuk musim ini.

“Ianya satu perlawanan yang sukar menentang pasukan yang baik seperti Selangor dan keputusan ini menggambarkan keadaan pasukan kami setakat ini yang masih belum lengkap menjelang pembukaan musim baharu Liga Premier Singapura.

“Apa yang positif adalah kami dapat belajar dari kesilapan dan permainan ini sangat penting kerana Selangor adalah pasukan yang baik dan berharap mereka dapat memberikan saingan dalam liga musim ini,” jelasnya.

Selangor akan bertemu wakil Laos, Young Elephants manakala DPMM pula akan bertemu seteru utama di Singapura, Balestier Khalsa dalam perlawanan kedua SAC 2024 di Stadium MBPJ pada Ahad.