KEMPEN Selangor Asia Challange (SAC) 2024 dimulakan dengan perlawanan petang melibatkan wakil dari Singapura, Balestier Khalsa FC dan wakil Laos, Young Elephants FC di Stadium MBPJ pada Jumaat.
Balestier Khalsa tiada masalah memulakan kempen SAC 2024 dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan pasukan lawan dengan keputusan 1-0.
Separuh masa pertama menyaksikan Hala Tigers dan The Elephants berhati-hati mengatur rentak sambil mencari peluang mendapatkan kelebihan gol awal.
Keadaan padang yang basah akibat hujan lebat sebelum perlawanan tidak menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.
Kelab dari Singapura itu kemudian menunjukkan dominasi mereka sehingga memaksa pihak lawan untuk membuat kesilapan.
Hasilnya, kapten Young Elephants itu, Manolom Phetphakdy tersilap memberi bola lalu direbut oleh penyerang Balestier, Kodai Tanaka yang melarikan bola itu ke arah pintu gol Young Elephants.
Ini memaksa penjaga gol kelab Laos itu, Solasak Thilavong menjatuhkan Tanaka dalam kotak penalti pada minit ke-35 seterusnya dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil.
Tanaka berjaya menyempurnakan sepakan penalti itu, seterusnya memberikan gol pendahuluan kepada Balestier Khalsa pada minit ke-42.
Separuh masa kedua menyaksikan asakan demi asakan yang dilakukan oleh Young Elephants untuk mencari gol penyamaan.
The Elephants hampir menyamakan kedudukan menerusi Kydavone Souvanny selepas berjaya melepasi hadangan penjaga gol Balestier Khalsa, Hafiz Ahmad pada minit ke-79 namun Hafiz berjaya kembali ke kotak penaltinya sebelum merampas kembali bola itu.
Kedua-dua pasukan dari Singapura dan Laos itu saling berbalas serangan antara satu sama lain tetapi keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Berdasarkan format SAC 2024, pasukan itu meraih tiga mata hasil kemenangan berkenaan dan tambahan satu mata dengan jaringan yang dihasilkan.