PENGENDALI Balestier Khalsa, Peter De Roo mengakui dia sedikit terkilan kerana tidak dapat bertemu Selangor FC dalam aksi persahabatan antarabangsa Selangor Asia Challenge 2024 namun dia menganggap ianya sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi pasukannya.
De Roo yang pernah berkhidmat di Malaysia sebelum ini mahu skuadnya yang memasuki fasa akhir pramusim dapat bertemu lawan yang kuat seperti Selangor sebelum menghadapi cabaran sebenar di Liga Premier Singapura.
Balestier Khalsa telah diundi bertemu wakil Laos, Young Elephants dalam perlawanan pertama pada Jumaat sebelum bertemu DPMM FC pada Ahad dan tidak mempunyai kesempatan untuk bertemu “The Red Giants”.
“Saya sangat berharap dapat bertemu Selangor tetapi keputusan undian telah dibuat dan saya perlu menerimanya kerana ini adalah sebahagian daripada asam garam bola sepak.
“Bukan hendak memperkecilkan pasukan Yong Elephants tetapi menjelang akhir pramusim saya memerlukan lawan yang kuat seperti Selangor bagi membolehkan kami mengenalpasti kekuatan dan kelemahan sebenar pasukan kami.
“Saya dapat tahu Young Elephants baru sahaja memulakan kempen pramusim mereka dan bimbang ianya tidak cukup kompetitif buat kami tetapi inilah yang perlu kami hadapi dan kejohanan ini baik untuk pasukan sebelum liga bermula pada 11 Mei,” katanya kepada FLASH SUKAN.
De Roo turut berpendapat ianya satu peluang yang baik untuk kelab-kelab dari Singapura kerana dapat melakukan perlawanan pramusim dengan kelab Malaysia kerana tahap Liga Super yang lebih tinggi berbanding Liga Premier Singapura.
Selain Balestier Khalsa, kelab-kelab Singapura seperti Lion City Sailors, Hougang United, Albirex Niigata, Geylang International, Tanjong Pagar United serta pasukan jemputan, DPMM FC memilih untuk melakukan persiapan pramusim menentang kelab dari Liga Super Malaysia.
“Ianya cukup baik untuk kedua-dua negara terutama Singapura kerana kami mempunyai lawan yang lebih baik dari segi ranking liga dan tahap kompetitif dan perkara ini baik untuk perkembangan bola sepak serantau,” jelasnya.
Balestier Khalsa kini dalam persiapan akhir menjelang kempen Liga Premier Singapura 2024-25 menentang Geylang International FC di Bishan dan De Roo sudah pasti mahu menggunakan kejohanan SAC 2024 ini sebagai medan untuk menguji gandingan terbaik pasukannya.