KEEMPAT-EMPAT pengendali pasukan yang menyertai Selangor Asia Challenge Cup (SAC) 2024 – Selangor FC, Balestier Khalsa, DPMM FC dan Young Elephants menjangkakan lebih banyak aksi serangan dan jaringan bakal dihasilkan ekoran format pertandingan yang menarik.
Menurut penganjur pertandingan, setiap kemenangan akan memberikan tiga mata penuh manakala seri akan memberikan satu mata buat mana-mana pasukan. Namun apa yang menarik, setiap gol yang dijaringkan akan memberikan satu mata tambahan.
Ini menjadi motivasi tambahan buat semua pasukan untuk mencari seberapa banyak gol bagi memastikan kedudukan yang lebih selesa dalam carta sekali gus berpeluang untuk muncul juara dan membawa pulang trofi kejohanan.
Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil berkata walaupun teruja dengan format yang diperkenalkan namun dia masih perlu melindungi para pemain walaupun mahu mencari banyak gol kerana mereka akan bermain dua perlawanan dalam tempoh empat hari.
Peter De Roo, pengendali Balestier Khalsa turut merasakan format ini memberikan peluang setiap pasukan untuk mempamerkan aksi menyerang dan ianya baik untuk para penyokong yang hadir ke stadium.
Pendapat yang sama turut dipersetujui oleh ketua jurulatih DPMM FC, Rui Capela yang mahu pemainnya mendapat pendedahan sepenuhnya dari kejohanan ini dalam masa yang sama akan mempamerkan aksi serangan kerana setiap jaringan menjanjikan mata.
Sementara itu, pengendali Young Elephants, Phoutpasong Sengdalavong juga mahu menggunakan kejohanan ini sebagai medan pramusim untuk menguji barisan terbaik dan mahu pasukannya cuba menjaringkan seberapa banyak gol untuk mencuri mata.
Young Elephants akan membuka tirai saingan bertemu Balestier Khalsa sebelum Selangor FC menjadi tuan rumah kepada DPMM FC dalam hari perlawanan pertama pada Jumaat dengan semua aksi dilangsungkan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.