SABAH FC bakal menghadapi tugasan cukup berat apabila kehilangan khidmat pemain utama, Saddil Ramdani dan Darren Lok menjelang aksi pertemuan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas pada Sabtu.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan kedua-dua pemain itu masih mengalami kecederaan dan sudah pasti akan memberi satu cabaran besar namun beberapa pemain lain bersedia mengambil alih posisi mereka.

Kim Swee turut menyatakan apa yang penting mereka perlu mengambil peluang ini sebaik mungkin termasuk memberi komitmen tinggi selain menimba pengalaman serta bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal apabila berhadapan Harimau Selatan.

Ong Kim Swee mahu pemain tunjukkan kesungguhan ketika aksi bertemu JDT (kredit foto: Sabah FC)

“Ini perlawanan yang sangat berbeza, sudah tentu melibatkan kedudukan liga di mana kita tahu perlawanan Sabtu ini sangat penting dan lebih-lebih lagi bermain dengan pasukan JDT.

“Bukan satu perkara yang mudah, tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa isu melibatkan Sabah FC yang tular di media sosial baru-baru ini Kim Swee berkata, semua isu tersebut sudahpun diselesaikan dan berharap, semua pemain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan penting esok.

Saddil dilaporkan bakal terlepas aksi bertemu JDT ekoran kecederaan

“Kita yakin isu-isu luar ini tidak akan mengganggu tumpuan dan fokus pemain kerana mereka perlu meningkatkan prestasi selepas gagal memperoleh kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Kita tidak bermain dengan begitu baik dan mereka harus melupakan kekalahan tersebut dengan menumpukan pada perlawanan ini agar mereka dapat bermain serta mengembalikan prestasi sebenar,” jelas Kim Swee.

Kim Swee juga menyeru kehadiran penyokong yang ramai kerana ianya memainkan peranan penting untuk meningkatkan semangat pemain selepas beberapa keputusan yang tidak memihak skuad Badak kebelakangan ini.

Sabah FC mahu penyokong hadir penuhkan Stadium Likas (kredit foto: Sabah FC)

“Saya tahu ramai pihak yang kecewa, namun kita harus teruskan sokonhan kerana ini penting untuk memberikan semangat kepada para pemain yang sememangnya akan memberi impak yang sangat berlainan,” ujarnya.

Johor Darul Ta’zim hadir ke Likas sebagai pasukan pilihan dengan kukuh di persada liga dengan 12 mata selepas empat perlawanan dan Sabah cuba untuk mencalarkan imej tersebut dihadapan penyokong sendiri dalam aksi yang dijangka cukup menarik.