PEMAIN kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani sah akan bersama Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia 2023 (Liga-M) dan saingan Piala AFC 2023.

Perkhabaran gembira ini disahkan Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang percaya khidmat pemain kelahiran Saha, Indonesia akan terus melonjakkan pasukan.

“Selain menyambung kontrak tonggak import dari Korea Selatan, Park Tae-su, pasukan juga mengambil keputusan yang sama dengan Saddil Ramdani,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Saddil  antara watak penting dalam skuad The Rhinos dan dia berjaya membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga bagi saingan Liga Super 2022.

Pemain berumur 23 tahun berkenaan sebelum ini pernah beraksi bersama Pahang pada tahun 2018 dan kembali ke Indonesia bersama Bhayangkara FC di saingan Liga 1 Indonesia sebelum menyertai Sabah FC musim lalu.

Saddil kini bersama pasukan negaranya beraksi dalam saingan Piala AFF 2022.Foto: PSSI

Saddil yang kini bersama skuad kebangsaan Indonesia mengharungi kejohanan Piala AFF Mitsubishi 2022 turut dirisik beberapa kelab dari Australia namun tetap setia yang pastinya menggembirakan penyokong The Rhinos.

Kim Swee yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) memaklumkan khidmat pemain berpengalaman Mohd Amri Yahya turut ditagih bagi musim 2023.

“Mohd Amri masih bersama pasukan  begitu juga bekas penjaga gawang Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat,” katanya.

Untuk rekod, The Rhinos telah membawa beberapa pemain baharu dalam pasukan antaranya penyerang Harimau Malaya, Darren Lok, Stuart Wilkin (JDT) dan Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC).

Turut sama menperkuatkan pasukan adalah Jafri Firdaus Chew (Penang FC), S Kumaahran (PJ City FC) dan R Dinesh (Negeri Sembilan FC).

Pada masa sama juga, Sabah FC turut melepaskan beberapa pemain antaranya, Nazirul Naim, Badrul Affendy serta dua pemain import iaitu Jose Embalo serta Taiki Kagayama.