KEJUTAN berlaku kepada kem Piala Asia 2023 Indonesia apabila pemain sayap lincah, Saddil Ramdhani tidak terpilih dalam senarai akhir 26 pemain untuk menghadapi perlawanan Kumpulan D yang bermula pada Jumaat.
Perkara ini disahkan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) apabila mengumumkan senarai akhir 26 pemain yang menjadi pilihan ketua jurulatih, Shin Tae-yong untuk membawa cabaran Indonesia di Piala Asia.
Seorang lagi pemain yang dilepaskan Tae-yong adalah pemain kelab Arema Malang, Arkhan Fikri dengan tempat Saddil bakal diisi pemain kelab Borneo Samarinda, Adam Alis.
OFFICIAL.
Inilah nomor punggung 26 pemain Timnas Indonesia yang akan berjuang untuk Merah Putih di Piala Asia Qatar 2023 🇮🇩#KitaGaruda #BersamaGaruda #GarudaMendunia #GarudaDiAsia #AsianCup2023 pic.twitter.com/tY7MllMUSP
— Timnas Indonesia (@TimnasIndonesia) January 11, 2024
Saddil yang bermain untuk Sabah FC mempamerkan aksi cemerlang bersama kelab dengan membantu skuad Badak layak ke peringkat separuh akhir zonal Asean di Piala AFC.
Berita yang mengejutkan peminat bola sepak Asia Tenggara ini disahkan sendiri pada mulanya oleh Ketua Badan Tim Nasional (BTN), Sumardji pada Rabu menurut laporan media tempatan.
“Ya betul Saddil dan Arkhan disisihkan. Pertimbangannya adalah teknikal yang diperlukan jurulatih kerana ada beberapa kriteria-kriteria yang dinilai oleh Coach Shin. Penilaiannya itu bermula dari teknikal hingga strategi,” jelas Sumardji.
Dengan ini, Indonesia kini telah memuktamadkan 26 pemain untuk bertemu Iraq pada 16 Januari dalam kumpulan yang turut dihuni Jepun dan satu lagi jaguh Asean, Vietnam.