PENYERANG baharu Bayern Munich, Sadio Mane dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2022 pada majlis penghargaan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) di ibu kota Maghribi, Rabat, pada Jumaat.
Ini merupakan penghargaan Pemain Terbaik Afrika kedua berturut-turut yang diraih Sadio Mane, selepas musim lalu tampil gemilang bersama Liverpool serta pasukan kebangsaan Senegal.
Meskipun gagal membawa Liverpool muncul juara Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara, peranan Sadio Mane sangat penting dalam kejayaan Senegal merangkul Piala Afrika buat kali pertama tahun ini.
Majlis penghargaan dari CAF kembali untuk pertama kalinya dalam tiga tahun setelah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. Pada 2019, gelaran pemain terbaik lelaki juga diraih Sadio Mane.
“Saya sangat gembira menerima trofi tahun ini.
“Saya berterima kasih kepada masyarakat Senegal dan mendedikasikan trofi ini untuk anak muda negara saya,” kata Mane semasa menghadiri acara tersebut seperti dilapor dari BBC Sport.
Mane mengalahkan rakan senegaranya dan penjaga gawang Chelsea, Edouard Mendy serta bekas rakan sepasukan di Liverpool Mohamed Salah.