ARENA bola sepak tempatan digemparkan dengan perletakan jawatan berkuat kuasa serta merta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Bung Mokhtar Radin dan menimbulkan kebimbangan kepada nasib kelab Sabah FC.

Sabah FC dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih tempat ketiga Liga Super 2022 dan berjaya menempah slot ke kejohanan kelab Asia Tier 2, Piala AFC untuk musim 2023-2024 sekaligus menerbitkan rasa teruja di kalangan para penyokong skuad Badak.

Namun begitu Setiausaha Agung Safa, Datuk Jelani Hamdan memberikan jaminan bahawa kemelut politik yang melanda negeri di bawah bayu itu sama sekali tidak menjejaskan Safa dan Sabah FC kerana semuanya masih berjalan seperti biasa.

Datuk Jelani Hamdan

Dia juga menyatakan masih belum menerima surat perletakan jawatan dari Presiden dan tidak boleh memberikan komen lebih lanjut kerana masih belum menerima surat bertulis rasmi kepada kelab.

“Sebagai Setiausaha Agung, saya belum menerima surat rasmi perletakan jawatan itu dari Presiden dan masih belum membuat sebarang komen berkenaan hal ini sehingga saya mendapat surat bertulis rasmi.

“Namun begitu, saya bagi pihak Safa memberi jaminan bahawa kesemua operasi persatuan dan kelab berjalan seperti biasa. Banyak soalan telah dilemparkan terutama mengenai kebimbangan terhadap kelab Sabah FC.

ARTIKEL BERKAITAN: Bung Moktar letak jawatan Presiden SAFA berkuatkuasa hari ini

“Kini kita sibuk dalam proses menandatangani pemain untuk pasukan utama dan juga pasukan simpanan B23 selain pasukan B20 dan lain-lain pasukan. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana kita tidak terlibat dalam politik dan segala masalah yang berlaku tidak menggangu.

“Kita mempunyai pasukan pengurusan dan barisan kejurulatihan yang juga layak dan berpengalaman jadi semuanya berjalan seperti biasa,” katanya menerusi nota suara kepada media.

Dalam pada masa yang sama, Sabah FC turut mengumumkan kedatangan tiga pemain antarabangsa baharu iaitu Talmo Castanheira, Gabriel Peres dan Jacob Njoku manakala Daniel Ting menyertai The Rhinos secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim sebagai persiapan menghadapi musim 2023.