BIARPUN sebarang kemenangan ke atas Korea Selatan tidak lagi memberi erti tetapi semangat melawan dipamerkan pemain Harimau Malaya setidaknya mampu menghadirkan kegerunan buat lawan.
Pemain sayap negara, Safawi Rasid mengakui mahu mengulangi kejayaan menundukkan Korea Selatan pada temasya Sukan Asia di Indonesia 2018 lalu.
Katanya, biarpun mereka sudah tersingkir dari kempen kali ini namun Safawi dan rakan sepasukan tetap bersemangat kerana tidak mahu pulang ke tanah air dengan tangan kosong.
“Bagi saya kita ada 90 minit tapi kami cuba untuk calarkan reputasi mereka. Kami akan cuba, Insya Allah kerana itu adalah sasaran kami demi maruah negara Malaysia. Oleh itu kita mahu bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan itu nanti.
“Satu keputusan yang positif (diburu), dan bukan satu perkara mustahil untuk kita cuba dapat,” katanya yang bersedia memberi 100 peratus komitmen seandainya diturunkan Kim Pan-gon dalam perlawanan itu nanti.
Berdasarkan rekod pertemuan kompetitif babitkan skuad senior kedua-dua pasukan, Malaysia dan Korea Selatan sudah bertemu sebanyak 45 kali sejak 1953 di mana skuad kebangsaan hanya mampu mencatat kemenangan tujuh kali dan seri sembilan kali, dengan selebihnya tumbang 29 kali.
Kali terakhir pasukan negara merasai nikmat kemenangan adalah pada 1985 dalam Kelayakan Piala Dunia apabila jaringan tunggal Dollah Salleh membuatkan Korea Selatan pulang ke Seoul dengan kekecewaan.
Begitupun selepas itu, Malaysia tidak pernah menewaskan jaguh Asia yang sudah 11 kali beraksi di Piala Dunia itu sehinggalah pada 2018 anak buah Datuk Ong Kim Swee mencipta sensasi babitkan pasukan B-23 di temasya Sukan Asia (format pertandingan mengehadkan usia B-23) itu.
Rekod 10 pertemuan terakhir Malaysia dan Korea Selatan di pentas antarabangsa.
18 Disember 1978 Malaysia 0-1 Korea Selatan (Sukan Asia)
16 September 1980 Korea Selatan 1-1 Malaysia (Piala Asia)
21 April 1981 Korea Selatan 2-1 Malaysia (Kelayakan Piala Dunia)
17 Jun 1981 Korea Selatan 2-0 Malaysia (Piala Presiden)
16 Oktober 1984 Korea Selatan 0-0 Malaysia (Kelayakan Piala Asia)
10 Mac 1985 Malaysia 1-0 Korea Selatan (Kelayakan Piala Dunia)
19 Mei 1985 Korea Selatan 2-0 Malaysia (Kelayakan Piala Dunia)
17 Disember 1987 Malaysia 0-1 Korea Selatan (Pestabola Merdeka)
27 Mei 1989 Korea Selatan 3-0 Malaysia (Kelayakan Piala Dunia)
5 Jun 1989 Malaysia 0-3 Korea Selatan (Kelayakan Piala Dunia)