PEMAIN sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid sah berkelana ke Terengganu FC untuk saingan bola sepak musim 2024/2025.

Dakwaan yang tercetus sebelum ini akhirnya telah diumumkan sendiri oleh Terengganu FC melalui satu hantaran video di laman Instagram rasmi yang memperkenalkan dua bintang baharu mereka.

Kedua-dua pemain ini mempunyai kekuatan dari segi kelincahan dan ketangkasan mereka ketika beraksi di atas padang dan sudah tentu ianya akan melancarkan lagi strategi jurulatih dalam perlawanan akan datang.

Namun begitu, ketiadaan mereka di JDT juga pasti memberi kesan dan kerinduan buat peminat mereka di Selatan walaupun mereka tidak mempunyai minit permainan yang cukup banyak bersama skuad JDT.

Untuk rekod, Safawi telah beraksi hampir sekitar 42 minit bersama skuad gergasi Harimau Selatan manakala Akhyar pula merekodkan aksi selama 350 minit iaitu 13 perlawanan keseluruhan bersama skuad Harimau Selatan sekali gus berhasil menjaringkan tiga gol.

Difahamkan bahawa status Akhyar Rashid dan Safawi Rasid adalah secara pinjaman dari kelab semasa (JDT) untuk bersama dengan Terengganu FC dalam mengharungi aksi Liga Super 2024/2025.