SAFAWI Rasid dilihat kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila sudah mula menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan yang sedang bersedia menghadapi perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.
Menerusi foto yang dikongsikan laman sosial rasmi kelab, Safawi dilihat ceria dan sentiasa tersenyum ketika sesi latihan itu di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam.
Sebelum ini, penyerang kebangsaan itu telah menjalani tempoh pinjaman bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC dan diturunkan secara konsisten dalam setiap perlawanan.
Kehadirannya di Ratchaburi telah membantu skuad The Dragons itu menamatkan saingan di tangga kelapan liga dan menjadi antara pemain kesayangan para penyokong di sana.
Sebelum ini nama Safawi menjadi hangat apabila dikaitkan dengan beberapa kelab yang beraksi di Liga 1 Indonesia selain ada juga khabar angin mengatakan dia akan dipinjamkan ke kelab yang berpangkalan di Pantai Timur ketika jendela perpindahan kedua pada Julai.
Namun dia masih belum menyatakan kelab atau liga mana yang akan disertainya dan dia kini mahu merebut tempat dalam skuad JDT yang dibarisi pemain berkualiti tinggi dan kembali kepada zaman kegemilangannya pada 2019.