PENYERANG berbisa Johor Darul Takzim FC, Muhammad Safawi Rasid berpuas hati meskipun hanya mengutip satu mata di tempat lawan dalam aksi bertemu Selangor FC pada Sabtu.
Mengulas lanjut, pasukannya ketika ini lebih menumpukan terhadap perlawanan akhir Piala FA kerana JDT boleh dikatakan hampir pasti terus menggenggam kejuaraan liga kesembilan musim ini.
Lebih istimewa, ianya merupakan penampilan pertama pemain kelahiran Terengganu itu bersama pasukan JDT dalam pentas akhir Piala FA.
Sedar Terengganu FC bukan calang-calang pasukan, Safawi menjelaskan JDT akan tetap berwaspada dan bermain bersungguh-sungguh untuk membawa pulang piala tersebut ke bumi Harimau Selatan.
“Main away, satu mata pun saya rasa memadai. Persiapan untuk perlawanan akhir Piala FA kami berjalan dengan lancar. Insha Allah, untuk final Piala FA, kita akan berikan yang terbaik.
“Saya rasa perjalanan untuk ke final semua berjalan dengan lancar. Kalau saya diberi peluang, ini kali pertama saya bermain untuk JDT di Piala FA. Pasukan akan berjuang habis-habisan.
“Semua perlawanan dan liga, kami berwaspada tetapi kami akan tetap memberikan persembahan terbaik pada final nanti,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, penjaga gol utama Johor Darul Takzim, Farizal Marlias memuji persembahan penjaga gol kedua Johor Darul Takzim, Muhammad Haziq Nadzli yang beraksi dengan baik biarpun turut bolos satu gol menentang Gergasi Merah.
“Setakat ini, apa yang ditunjukkan sangat baik bagi saya. Saya percaya dia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Saya doakan dia menjadi lebih baik pada masa akan datang untuk meneruskan momentum,” ujarnya.