PENYERANG sensasi Terengganu FC, Muhammad Safawi Rasid menyifatkan bahawa taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner adalah mudah untuk dipelajari.
Safawi yang dipinjamkan daripada kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meletakkan kepercayaan tinggi buat pengendali pasukan tersebut dalam memacu pasukan Terengganu FC ke arah yang lebih cemerlang.
Musim lalu, Terengganu berada di kelompok enam pasukan terbaik Liga Super dan tidak mustahil dengan kehadiran anak jati Dungun itu, ia akan melancarkan lagi strategi Tomislav dalam menambah baik prestasi pasukan menjelang saingan bola sepak musim 2024-2025 ini.
“Saya rasa kami boleh mengadaptasi taktikal coach Tomi dengan cepat kerana dia juga yakin dan tahu apa perkara yang dia mahukan.
“Kami juga perlu menyesuaikan diri dengan cepat kerana liga akan berlangsung tidak lama lagi, lebih kurang sebulan lebih lagi,” ujar Safawi kepada FLASH SUKAN ketika ditemui pada malam Selasa.
Tidak hanya itu, Safawi turut melihat bahawa pasukannya itu telah berjaya memperoleh banyak perkara positif selepas beberapa perlawanan persahabatan diadakan.
Jadi, bagi pemain kebangsaan itu, dirinya dan juga pasukan akan terus sedaya upaya memperbaiki setiap kekurangan yang sudah dikenal pasti dalam aksi-aksi perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Saya dapat merasakan bahawa pasukan ini akan sempurna sepenuhnya selepas beberapa perlawanan persabahatan yang dijadualkan berlangsung nanti.
“Kami sudah nampak apa yang perlu diperbaiki dan apa yang perlu kita teruskan. Bagi saya, saya hanya perlu teruskan usaha keras dan kekal menjaga potensi kekuatan pasukan kami,” ujarnya.
Dalam dua perlawanan persahabatan Terengganu FC sebelum ini, mereka telah mencatatkan satu kemenangan iaitu 6-1 kepada PDRM FC dan satu kekalahan menentang Selangor FC II dengan keputusan 1-2.