PEMAIN sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid, hampir pasti meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk kembali ke negeri kelahirannya, Terengganu FC (TFC), musim depan.

Menurut pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, usaha rundingan dengan pemain itu untuk memperkuatkan skuad Peteh pada 2024 kini di fasa akhir perbincangan.

Steinbruckner turut menjelaskan, selain Safawi, TFC juga mengenalpasti beberapa pemain lain sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang dijangka bermula April.

“TFC akan mengekalkan sebahagian besar tonggak dan mungkin hanya membuat rombakan kecil di beberapa posisi yang perlu diperkemaskan terutamanya melibatkan pemain import.

“Saya ada beberapa calon (pemain baharu) tetapi masih belum dapat mendedahkannya buat masa ini. Berkenaan Safawi, proses mendapatkan khidmatnya sudah hampir selesai.

“Saya sudah menandatangani lanjutan kontrak baharu hari ini (semalam) dan akan pulang ke Croatia esok untuk berehat sebelum latihan pra-musim pada Februari,” katanya kepada FLASH SUKAN.

May be an image of 5 people, people playing football, people playing American football and text that says "TERENGGANU 18"

TFC yang juga naib juara Piala Malaysia menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keenam mengumpul 40 mata selepas mengalahkan Perak 3-0 di laman sendiri, semalam

Kemenangan itu dibantu jaringan Ivan Mamut pada minit ketujuh disusuli tandukan Engku Nur Shakir Engku Yacob minit ke-17 dan tolakan mudah Nor Hakim Hassan minit ke-81.

Menyifatkan kedudukan keenam belum cukup bagus, Steinbruckner mengakui beliau tetap berpuas hati dengan keputusan diraih dalam tahun pertamanya sebagai ketua jurulatih TFC.

“Sejujurnya kami boleh dapat kedudukan lebih baik dalam liga namun TFC berjaya mara ke separuh akhir Piala FA, final Piala Malaysia dan kekal rekod tanpa kalah dalam Piala AFC.

“Pencapaian ini memuaskan tetapi TFC mahu keputusan lebih baik musim depan,” tambahnya lagi.