KETUA Pasukan Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid bersimpati terhadap kecaman yang dilemparkan sesetengah netizen kepada penyerang, Mohamadou Sumareh ekoran tindakannya yang gagal mengawal emosi di dalam padang menyebabkan dia dilayangkan kad kuning.

Sumareh yang dipanggil ‘Keli Boy’ hampir dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain lawan, Ehsoni Panshanbe ketika dia sudahpun dilayangkan kad kuning sebelumnya oleh pengadil perlawanan.

“Bagi saya, macam saya cakap mana-mana sukan ada yang dapat kecaman, ada yang dapat pujian.

“Saya rasa Sumareh mampu tangani bahawa dia dikecam. Bagi saya, sebagai salah seorang kapten, saya rasa benda itu tidak patut berlaku kepada Sumareh kerana kita bermain sebagai suatu pasukan.

“Kalau hendak kecam kecam semua, kalau hendak puji puji semua. Macam Sumareh, dia punya pemikiran positif dan mental yang kuat.

“Saya rasa panggilan kali ini lebih mengharmonikan pasukan supaya aura itu dibawa ke dalam padang. Saya nampak semua pemain memiliki harmoni yang baik. Sebab itu, kita nampak keputusan yang baik.

“Saya rasa tidak berpuas hati sebab kalau boleh saya memang benci kepada kalah, tetapi tiada rezeki,” katanya ketika ditemui media sejurus tiba di Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA 2) semalam.

Dalam pada itu, panggilan kali ini disifatkan penyerang Johor Darul Ta’zim itu sebagai usaha harmoni dengan menggabungkan pemain muda dan senior bagi membentuk sebuah pasukan yang kuat.

Biarpun skuad kebangsaan tampil dengan keputusan positif dalam saingan Piala Raja Thai 2022, namun secara peribadi pemain kelahiran Dungun itu masih tidak berpuas hati dengan prestasi dirinya kerana naluri individunya sangat mahukan kemenangan dan benci apabila terpaksa menelan kepahitan gagal membawa piala tersebut ke bumi Malaysia.