BEKAS penyerang legenda kebangsaan, Safee Sali melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai peluang yang baik untuk mengutip tiga mata dalam aksi kedua peringkat liga, Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 apabila berhadapan Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim.
Safee yang juga bekas pemain JDT turut menyatakan ‘squad depth‘ yang ada pada skuad Harimau Selatan akan memberikan kelebihan tatkala Shanghai Shenhua bergelut dengan masalah kecergasan akibat jadual yang padat.
“Pada pendapat saya, JDT kini berada pada tahap prestasi yang terbaik selain motivasi mereka juga terbaik dan selepas apa yang mereka pamerkan ketika aksi menentang Shanghai Port, kini mereka mempunyai peluang mencipta kemenangan ke atas Shanghai Shenhua.
“JDT juga mempunyai kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim dengan dikhabarkan jualan tiket yang laris dan JDT pastinya akan turun dengan skuad terbaik untuk raih tiga mata pertama mereka musim ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Safee juga percaya bahawa tugas ayam tambatan JDT, Arif Aiman Hanapi dalam perlawanan ini akan menjadi lebih sukar kerana dia pastinya akan diberikan perhatian serius oleh pihak lawan selepas mempamerkan aksi luar biasa di Shanghai dengan menjaringkan dua gol.
“Arif Aiman berada pada tahap yang berbeza dan dia sentiasa bersedia namun dia pasti akan dirantai hebat pasukan lawan yang sudah mengetahui cara dia bermain namun JDT mempunyai pemain lain di sekeliling Arif seperti Obregon yang akan memainkan peranan penting.
“Ditambah pula mereka mempunyai ‘squad depth‘ yang cukup baik dengan pemain-pemain yang sentiasa cergas dan aksi ini pastinya menjadi satu perlawanan yang menarik dan dinantikan oleh peminat bola sepak,” jelasnya.
JDT kembali ke Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan peringkat Asia dan Harimau Selatan mempunyai rekod yang baik di Iskandar Puteri dan pastinya para penyokong mengharapkan satu lagi keputusan positif dapat dihasilkan.