LEGENDA bola sepak negara dan penyerang Kuala Lumpur City FC, Safee Sali berterima kasih kepada Bojan Hodak yang memberinya peluang untuk bermain dalam perlawanan akhir Piala AFC 2022 meskipun tidak berjaya menjulang piala tersebut sekali lagi.
Dia juga turut berbangga apabila menjadi satu-satunya pemain di Malaysia yang bermain dalam dua final Piala AFC dengan membawa pulang pingat juara dan naib juara.
Safee turut menyatakan dia belum memutuskan masa hadapannya dan kini hanya mahu menumpukan sepenuh fokus kepada kejohanan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya pada 25 Oktober 2022.
“Pertama sekali, saya berasa bangga kerana dapat membawa pasukan KL City ke final Piala AFC walaupun kita tewas 3-0. Kami berada di sini adalah satu peringkat tertingi buat KL City dan ianya adalah satu pengalaman dan tidak ada siapa pun yang pernah mencapainya sebelum ini.
“Ianya adalah satu pencapaian yang baik untuk karier saya dengan dua kali berada di final Piala AFC kerana tidak ada pemain lain yang melakukannya dan saya berasa bangga untuk sentiasa melakukan yang terbaik di mana saya berada dan apabila saya diberi penghormatan bermain pada malam ini, saya amat berbangga.
“Setakat ini saya belum memutuskan atau membuat sebarang perbincangan sama ada untuk kekal bersama KL City kerana saya belum membuat perbincangan atau berfikir ke mana tujuan tetapi ianya adalah satu penghormatan untuk saya beraksi di final dan saya ucapkan terima kasih kepada Bojan Hodak dan pasukan KL City,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Safee Sali muncul juara pada penampilan sulungnya dalam Piala AFC pada 2015 bersama kelab Johor Darul Ta’zim dan kini berjaya melakukan penampilan kedua dan mungkin yang terakhir sebagai naib juara bersama Kuala Lumpur City FC.