BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali menyatakan kerisauan jika kelab-kelab dari Amateur Football League (AFL) diberikan lesen untuk dinaikkan pangkat ke Liga Super atas dua faktor yang dilihat boleh menjejaskan mutu liga tempatan.

Safee melihat faktor kewangan dan tahap kompetitif sebagai perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Malaysian Football League (MFL) bagi menjamin kualiti Liga Malaysia kerana perbezaan tahap adalah satu perkara yang tidak baik untuk bola sepak.

Dia yang ditemui ketika pelancaran Safee Sali Soccer School juga tidak mahu perkara ini sekiranya dibenarkan akan menjadi masalah di masa akan datang seperti tunggakan gaji yang melanda beberapa pasukan musim lalu.

KL Rovers disebut-sebut sebagai salah satu pasukan yang bakal beraksi di Liga Super 2024-25

“Saya risau sebab di AFL tidak terbukti dari segi kewangan terutamanya. Selain itu, bila masuk Liga Super adalah satu jurang yang sangat besar dari segi perjalanan, kos pemain, kontrak dan sebagainya. Kita kena ada aset untuk mengendalikan sebuah pasukan.

“Benda itu merisaukan dan tahap kompetitif, saya pun agak tidak suka sebab terlalu jauh. Liga Super dan AFL bukan satu tahap yang sama. Amatur dan profesional sangat berbeza. Saya tak tahu apa perancangan dan hala tuju MFL sebab dari segi kompetitif bukan jalan terbaik,” katanya.

Safee menjelaskan sekiranya dia mempunyai kuasa dia akan menolak penyertaan ini kerana sedar jurang yang terlalu besar akan wujud di antara pasukan Liga Super dan Liga MBSB Bank Championship.

Safee Sali ketika majlis pelancaran Safee Sali Soccer School

“Kalau saya ada kuasa saya akan tolak penyertaan tapi saya tiada kuasa. Sebab itu saya hanya melihat dari luar tapi logiknya dari segi tahap kompetitif tidak sama.

“Sebagai contoh Harini FT yang dari AFL lawan JDT, jurangnya sangat besar kerana Selangor nak lawan JDT pun sangat susah. Kalau liga menjadi tidak kompetitif, ianya tidak bagus untuk bola sepak,” jelasnya.

Safee Sali kini mempunyai sekolah bola sepak sendiri selepas menubuhkan Safee Sali Soccer School yang bakal menggilap bakat-bakat baharu menggunakan teknologi dan data selari dengan kehendak bola sepak moden.