PENYERANG Kuala Lumpur City FC Safee Sali dengan kerjasama Prime Sports NFT mengumumkan pelancaran ‘SEPULUH’ NFT (Non Fungible Token), 10 koleksi digital yang akan dilelong pada 22 Jun melalui pasaran NFT Digital, Opensea.
Projek tersebut membawa kepada kerjasama atlet tersebut dengan artis tempatan, Nicholas Chuan yang memegang portfolio ilustrasi untuk organisasi terkenal dunia seperti UEFA, Red Bull Racing Formula 1, Liverpool FC dan FC Bayern.
Inspirasi di sebalik ‘ SEPULUH’ merupakan pencapaian hebat Safee pada Kejohanan Piala AFF 2010 serta dinobatkan sebagai pemenang kasut emas hasil jaringan terbanyak sepanjang kejohanan tersebut dilangsungkan.
“Visi saya untuk 10 adalah untuk mengenang kenangan terindah saya memakai jersi Harimau Malaya melalui seni digital dan membolehkan peminat memiliki sekeping cerita saya sebagai koleksi.
“Peminat telah memberi sokongan sepanjang karier saya dan ‘SEPULUH’ NFT telah membuka pintu untuk mengeratkan hubungan saya bersama mereka,” ujar pemain jersi no. 10 itu.
Sementara itu, Pengasas Prime Sports NFT, Yong Chul Yun amat teruja dengan projek sulung bersama atlet terkemuka dan artis tanah air untuk menyilangkan dunia sukan dan seni bersama.
“Secara global, aset digital semakin membesar dan disokong tinggi dalam dunia sukan dan dengan ini kami berharap dapat mengubah cara peminat berinteraksi dengan pasukan dan atlet kegemaran mereka.
“Dengan pelancaran NFT ‘SEPULUH’, kami teruja kerana dapat menjadi pemboleh ubah inovasi tersebut. Peranan kami dalam menghubungkan artis seperti Nicholas benar-benar memberi ganjaran dan sekarang kami sedang bekerja dengan lebih ramai atlet, artis dan organisasi di Malaysia,” katanya.
‘SEPULUH’ NFT Safee akan disiarkan secara langsung untuk lelongan melalui OPENSEA. Peminat berpeluang membida bilangan terhad 10 NFT dalam koleksi bermula 22 Jun 2022, jam 12 tengahari sehingga 11 Julai 2022, jam 11.59 malam.