KETANDUSAN pemain penyerang yang mampu mengemudi serangan Harimau Malaya menyaksikan bekas penyerang legenda kebangsaan, Safee Sali tampil membuka sekolah bola sepak, Safee Sali Soccer School yang dilancarkan pada Sabtu.
Dengan sasaran 250 orang pelatih, Safee Sali Soccer School bakal menjadi medan untuk mencari ‘the next’ Safee Sali dan dia sendiri akan menggunakan pengalaman yang ada padanya.
Malah sekolah ini juga bakal menggunakan teknologi bagi memastikan dapat melahirkan pemain berkualiti seiring dengan kehendak bola sepak moden.
Sekolah bola sepak yang berpangkalan di Bandar Serenia, Sepang ini bukan sahaja bertujuan untuk menggilap bakat tetapi juga akan dijadikan medan untuk membentuk pemain yang serba lengkap dengan penekanan pendidikan emosi.
“Ini adalah niat saya untuk menyumbang kembali kepada komuniti bola sepak tanah air dan dengan kerjasama yang diterima dari banyak pihak, saya sudah mempunyai perancangan untuk memperluaskan lagi akademi saya ini diseluruh negara.
“Saya menjanjikan perkara ini bukan sekadar akademi bola sepak yang biasa kerana ini adalah cara saya untuk menyampaikan pendidikan yang baik dengan penglibatan teknologi dan pengkalan data kerana data adalah perkara yang penting untuk mencari Safee Sali seterusnya.
“Di sini saya tidak menjanjikan seseorang untuk menjadi pemain bola sepak profesional tetapi saya mempunyai kenalan yang boleh membuka ruang kepada semua pelatih untuk pergi lebih jauh jika mereka mempunyai bakat yang boleh diketengahkan.
“Kami juga akan tekankan kepada generasi muda ini bagaimana hendak menangani tekanan serta memberikan pendidikan kepada ibu bapa untuk mengawal emosi mereka dan anak-anak kerana di sini pemain akan dinilai berdasarkan disiplin yang telah ditetapkan modul kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran.
Safee juga meletakkan harapan yang tinggi buat skuad kebangsaan di masa hadapan dan atas sebab itu dia mahu mencari sendiri bakat-bakat baharu yang bakal menjadi Safee Sali seterusnya untuk mewakili skuad Harimau Malaya.