BEKAS penyerang prolifik kebangsaan, Mohd Safee Mohd Sali menegaskan dia tidak berasa kesal atas keputusan yang dibuatnya untuk menggantung but yang dibuat secara rasmi bermula hari ini.

Jelasnya, dia telah melakukan sedaya-upaya ketika bersama pasukan kebangsaan dan telah berjaya mengecap beberapa kejayaan besar seperti merangkul Kejuaraan Pestabola Merdeka 2007 dan Piala AFF 2010.

“Saya tiada penyesalan. Saya tiada sebarang keraguan dan saya harapkan selepas ini sesiapa yang mewakili Harimau Malaya terus cuba memperbaiki ranking Malaysia kerana saya pernah bermain percubaan di Cardiff City tetapi disebabkan ranking Malaysia, saya gagal beraksi di Cardiff City.

“Untuk pasukan Harimau Malaya, saya sudah sehabis mampu untuk lakukan yang terbaik bersama skuad kebangsaan.

“Saya bermula dengan Pestabola Merdeka sejak 2007. Kemudian Piala Asia kita dibelasah teruk. Kita juga berjaya menang Piala AFF pada 2010,” jelasnya ketika ditemui di Majlis Persaraan yang berlangsung di Sofitel KL Damansara, Wau Bulan 3 Ballroom.

Tambah pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu, keputusan bersara dari dunia bola sepak dibuat setelah mengambil kira faktor bahawa dia tidak lagi mampu bersaing pada tahap tertinggi di peringkat domestik mahupun global sebagai penyerang berkualiti.

Ditambah dengan harapan rakan sepasukan ingin menyaksikan dia berada di kesebelasan utama, namun perkara tersebut tidak berlaku sekaligus menambahkan stres kepada dirinya sebagai seorang pemain.

Ia mengukuhkan lagi antara sebab dia bersedia memuktamadkan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak di Malaysia.

“Seluruh rakan dan keluarga saya terkejut. Saya merasakan memang tidak boleh bersaing secara sengit dan sihat di dalam pasukan terutama di bahagian serangan.

“Ia memang berat bagi saya apabila rakan sepasukan yang lain mahukan saya bermain tetapi saya tidak mampu. Itu juga membuatkan saya demotivate dan stress dengan diri saya sendiri.

“Jadi, saya rasa ini adalah keputusan terbaik dan masa yang tepat untuk saya tidak berada dalam pasukan serta bersaing dan saya membuat keputusan ini,” katanya.