BEKAS penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali menganggap Liga Profesional Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah destinasi yang sesuai untuk meneroka potensi pemain paling bernilai Liga Super 2022, Arif Aiman Hanapi.

Safee beranggapan ianya bukan masa yang sesuai buat Arif Aiman untuk berkelana ke Eropah kerana dia masih muda dan bimbang prestasinya akan menurun lebih cepat dan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pasukan yang sesuai untuknya ketika ini.

“Arif Aiman masih muda dan masih jauh perjalanan dia. Kini dia ada dalam pasukan yang sesuai buat masa ini. Saya risau jika dia keluar prestasi dia akan menurun dan perlu bagi lebih masa. Ini kerana dalam bola sepak ini cepat naik dan cepat turun dan sudah banyak contoh yang boleh kita lihat.

 

“Saya rasa dia sesuai ke liga UAE untuk teroka potensi dirinya kerana jika pergi ke Eropah masih terlalu jauh berbeza. Dia seorang yang mempunyai sikap yang bagus dan masih banyak ruang untuk dia berkembang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini,

Safee yang kini Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) turut berkata posisi sayap adalah posisi natural Arif Aiman dan penyokong tidak akan dapat melihat kebolehan sebenarnya Arif jika dia berubah posisi.

“Asalnya dia adalah pemain sayap dan kini masuk ke posisi nombor sembilan dari sayap. Arif adalah pemain sayap yang natural dan jika dia berubah posisi kita tidak akan dapat lihat Arif Aiman,” tambahnya.

Arif Aiman

Arif Aiman mencipta sensasi apabila menjaringkan dua hatrik dalam tempoh seminggu dengan meledak empat gol ketika membantu Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0 di Kuala Terengganu sebelum menyumbat tiga gol ketika menyarung jersi Harimau Selatan menumpaskan Selangor FC 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA di Iskandar Puteri.