PEMAIN pertahanan negara, Muhammad Safwan Mazlan mahu tampil lebih baik sekiranya diberi peluang sekali lagi menyarung jersi kebangsaan.

Pemain pertahanan Terengganu FC itu antara pemain baharu yang menyerlah dalam dua aksi terakhir Malaysia ketika menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.

Menurut pertahanan berusia 22 tahun itu, dia akan bekerja keras lagi untuk merebut tempat bagi kempen Piala AFF Mitsubishi 2024 pada akhir tahun ini.

“Saya tak beri seratus peratus malam ini (semalam), mungkin untuk Piala AFF kalau diberi peluang untuk bermain mungkin saya akan buat yang terbaik lagi.

“Alhamdulillah saya boleh buat benda yang coach suruh, semua okey bagi saya tetapi mungkin ada kesilapan yang perlu diperbaiki untuk saya maju lagi ke depan.

“Peluang (pertahanan utama) akan saya manfaat sebaik mungkin untuk memastikan skuad negara memperoleh keputusan positif,” katanya selepas perlawanan.

Safwan juga mengatakan bahawa peluang yang diberikan kepadanya oleh Kim Pan-gon sedikit sebanyak menyuntik keyakinannya sebagai pemain muda.

“Sebab saya baru kali pertama naik ke pasukan senior, mungkin (selepas ini) dengan sokongan daripada keluarga dan penyokong mungkin saya lebih ke depan,” tambahnya.

Skuad Harimau Malaya mengakhiri kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan kemenangan 3-1 mengatasi Taiwan namun masih belum mencukupi untuk melayakkan diri ke pusingan kelayakan Piala Dunia yang seterusnya.

Gol Malaysia disumbangkan oleh Safawi Rasid, Paulo Josue dan Adib Raop manakala jaringan Chinese Taipei menerusi Yu Yao Hsing.