KEMELUT yang melanda isu pajakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras memasuki babak yang kedua apabila syarikat yang bertanggungjawab menguruskan stadium itu membuat laporan polis atas pertuduhan palsu yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Arcadin Services menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Afizal Abu Othman melalui kenyataan media yang disebarkan menepis dakwaan yang dikeluarkan oleh Presiden KLFA, Tan Sri Khalid Abdul Samad atas isu berkaitan gelanggang rasmi Kuala Lumpur City FC itu.
Sebelum ini, Khalid telah mengadakan sidang media bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard dan juga Setiausaha Agong KLFA iaitu Nokman Adam menyatakan bahawa Arcadin Services adalah punca mengapa skuad The City Boys tidak dapat berlatih di stadium tersebut dan terpaksa menggunakan padang Pudu Ulu sebagai tempat latihan.
Menerusi kenyataan rasmi itu, Arcadin menjelaskan bahawa semua yang dilemparkan adalah fitnah dan pihak Arcadin telah melakukan laporan polis terhadap segala tuduhan yang dilemparkan kepada mereka oleh pihak KLFA.
“Segala dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan berunsur fitnah dengan memberi laporan yang salah kepada pihak media bagi memberi tanggapan buruk ke atas pentadbiran Arcadin di dalam pengurusan stadium.
“Susulan dari itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak Arcadin pada 13 Julai 2022 ke atas tuduhan-tuduhan tersebut oleh pihak KLFA. Pihak Arcadin menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan media itu.
Semoga kemelut ini dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik kerana tidak mahu ianya mengganggu persiapan pasukan KL City bagi menghadapi baki Liga Super dan juga peringkat separuh akhir zon Asean dalam Piala AFC.